GST Bakal Diperkenalkan Selepas PRU-13

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata bahawa kerajaan sedang meninjau kemungkinan untuk melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) selepas pilihan raya umum akan datang. Bercakap kepada pemberita selepas majlis makan malam Persidangan CEO Global Forbes Ke-11 di Kuala Lumpur hari ini, Najib berkata Lembaga Hasil Dalam Negeri telah diminta untuk memastikan segala sistem sudah bersiap-sedia. Katanya, isu sekarang ialah masa yang sesuai bagi pelaksanaan berkenaan.

"Kami telah umumkan, secara prinsip bahawa kita akan memperkenalkan GST dan mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk menubuhkan sistem bagi membolehkan kita untuk melaksanakan ini.

"Persoalannya ialah masa. Saya berpendapat apabila tiba masanya, dalam masa terdekat... kemungkinan selepas pilihan raya akan datang, kami akan memperkenalkan GST," kata Najib.

Beliau berkata adalah penting untuk bersedia memandangkan akan terdapat gangguan dan penilaian semula apabila tiba masa pelaksanaannya.

"Saya percaya apabila sesuatu sistem diperkenalkan, tidak kira betapa rapi persediaan dilakukan, tetap akan ada kesilapan dan kelemahan dalam pelaksanaan nanti," katanya.

azlanNajib yang juga menteri kewangan juga mendakwa penerimaan rakyat terhadap pelaksanaan GST semakin meningkat.

Daripada 12 juta rakyat, hanya 1.2 juta yang membayar cukai, katanya.

"Rancangan kami ialah untuk mengurangkan defisit fiskal kami daripada 5.6 peratus kepada 5.4 peratus tahun ini dan turun kepada kira-kira tiga peratus dalam masa beberapa tahun akan datang. Jadi, apabila kami mngurangkan defisit fiskal kami, akan terdapat lebih keyakinan dalam ekonomi serta kami akan dapat menyaksikan asas yang lebih kukuh di Malaysia," kata Najib.

Sementara itu, Bernama melaporkan pada dialog selama 45 minit itu yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarang dan Pengerusi Forbes Asia, Steve Forbes, Najib juga berkata tindakan afirmatif untuk membantu Bumiputera, yang diperkenal di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB) akan dikekalkan. Bagaimanapun menurut perdana menteri, DEB akan berubah menjadi lebih mesra pasaran dan berdasarkan merit. Najib, yang juga menteri kewangan, berkata strategi kerajaan sekarang yang mewujudkan lebih banyak peluang bagi Bumiputera, tanpa mengenakan kuota ke atas kaum lain, juga menarik bukan Bumiputera.

"Apa yang kita dapati ialah cara ini (tindakan afirmatif di bawah DEB), pertamanya, ia tidak popular dengan pasaran; dan keduanya, tidak benar-benar membantu bumiputera.

"Apa yang cuba kita lakukan sekarang ialah mengubahnya; tindakan afirmatif kekal, tetapi ia harus lebih mesra pasaran dan harus lebih berdasarkan merit," katanya.

Mengenai sama ada telah tiba masanya bagi Asean mengkaji untuk memperkenal mata wang baharu, Najib berkata negara-negara Asean akan tetap terbuka kepada idea dalam jangka panjang tetapi pendekatan mestilah terkawal bagi mengelak daripada gangguan dalam pasaran kewangan dan mata wang.

"Saya menerima hakikat bahawa dalam jangka pendek dan sederhana, dolar AS akan terus menjadi mata wang utama antarabangsa dan euro juga akan menjadi mata wang penting. Saya tidak melihat gambaran berubah dalam jangka pendek dan sederhana.

"Tetapi dalam jangka panjang, ia (idea mata wang baharu bagi Asean) masih terbuka. Tetapi biarlah pelaksanaan terkawal supaya kami tidak mengganggu pasaran kewangan dan mata wang," kata Najib.

Beliau berkata Malaysia merupakan negara pertama menggunakan mata wang tempatan untuk menjalankan perniagaan dan perdagangan dengan China.